Ekonomi STPM Penggal 1 Bab 1

Asalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca.

Ok guys, jadi untuk post kali ini, saya akan cuba untuk memberikan kefahaman kepada anda untuk subjek ekonomi penggal 1 bab 1.

A. DEFFINISI EKONOMI
Jadi definisi ekonomi ialah "ilmu yang mengkaji bagaimana manusia mengagihkan sumber ekonomi yang terhad untuk memenuhi kehendak yang tidak terhad." Dalam post yang lepas saya ada menerangkan secara mudah tentang ekonomi. Contohnya, anda sebagai seorang tukang masak di sebuah restoran. Bagaimana anda hendak masak 2 biji telur untuk dijadikan telur goreng kepada 4 orang pelanggan. Jika anda memilih untuk masak telur mata kerbau, hanya dua pelanggan yang akan dapat makan 2 telur goreng. Tetapi, jika anda masak telur dadar, anda boleh bahagikan telur goreng tersebut kepada 4 orang pelanggan anda tadi.

B. SUMBER EKONOMI
Seterusnya tentang faktor-faktor pengeluaran. Terdapat 4 faktor pengeluaran iaitu;
1. buruh
2. modal
3. tanah dan,
4. usahawan.

Buruh- Buruh adalah pekerja. Ia merupakan faktor pengeluaran yang penting kerana menjadi tunggak utama untuk proses pengeluaran. Contohnya - Pekerja kilang.

Modal- Modal disini bukanlah semata-mata modal duit. Tetapi modal juga merujuk kepada mesin atau jentera.  Contohnya - mesin di kilang.

Tanah- Secara definisi tanah merupakan anugerah alam. Tanah disini bukanlah tanah untuk dibuat tanah hitam untuk berkebun tetapi maksudnya tapak untuk buat kilang atau tempat berniaga.

Usahawan- Usahawan ialah individu yang bertanggungjawab untuk mengabungkan kesemua faktor pengeluaran untuk proses pengeluaran. Contohnya - Penjual nasi lemak.

Setiap satu faktor pengeluaran mendapat ganjaran masing-masing seperti berikut;
1. Buruh - Upah
2. Modal - Faedah atau Bunga
3. Tanah - Sewa
4. Usahawan - Untung

Penerangan yang mudah untuk anda faham ialah Pak Samad (usahawan) berniaga nasi lemak. Dia berjual di tapak perniagaan pasar malam (tanah). Dia mengunakan periuk nasi dan parut kelapa (modal) untuk menghasilkan nasi lemak dan santan. Samsul, jirannya, membantu Pak Samad berniaga (buruh).

Penerangan bagi ganjaran. Dengan penjualan nasi lemak, Pak Samad (usahawan) mendapat keuntungan RM300 sehari (untung). Dia membayar sewa (sewa) kepada Majlis Perbandaran (tanah). Periuk nasi dan pemarut kelapa (modal) yang digunakan oleh Pak Samad adalah pinjaman dari Mak Senah dan dia membayar RM50 sebulan (faedah). Samsul (buruh) mendapat RM 15 sehari (upah) kerana membantu Pak Samad.

C. KEHENDAK MANUSIA DAN PENGELASAN BARANG
1. Kita sebagai manusia, secara normalnya, kita ada kehendak dan keperluan. Bagi menerangkan kehendak dan keperluan lebih mudah jika anda lihat pada almari baju anda. Jika untuk keperluan anda, baju 7 helai cukup untuk seminggu iaitu sehari satu baju. Tapi atas kehendak, penuh almari dengan baju dan bukan itu sahaja, nak juga ada branded shirts haaa gitu.

Secara definisi, kehendak manusia ialah "Keinginan manusia untuk mendapatkan barang dan perkhidmatan untuk mencapai kehidupan yang lebih selesa."


2. Jenis-jenis barang.
Terdapat beberapa jenis barang ekonomi iaitu;
a. Barang percuma
b. Barang ekonomi
c. Barang awam
d. Barang pengeluar / barang modal
e. Barang perantaraan dan
f. Barang pengguna / barang akhir

Saya akan cuba terangkan setiap satu barang dengan mudah. Sebelum saya terangkan, saya lebih suka jika anda faham tentang kos lepas. Kos lepas secara definisi ialah "barangan kedua terbaik yang terpaksa dilepaskan untuk mendapatkan barang yang terbaik." Saya akan terangkan dengan mudah kerana akan ada subtopik yang akan terang secara lebih mendalam. Kos lepas secara contoh ialah anda ada RM10 dan bertujuan untuk OTP dengan gf/bf dan anda lapar. Jadi anda pergi ke kedai runcit untuk membeli top-up atau beli makanan. Jika anda memilih untuk membeli top-up, makanan ialah kos lepas dan sebaliknya.

a. Barang percuma ialah barangan semula jadi. Barang percuma bukanlah barang "beli 1 percuma 1" tapi cahaya matahari, air, udara. Untuk barang percuma, penawarannya tidak terhad disebabkan secara normal cahaya matahari, udara dan air setiap hari ada. Dan ia juga tiada kos lepas disebabkan anda boleh guna kesemuanya tanpa melepaskan apa-apa. Contohnya, jika anda pengusaha penjana tenaga elektrik teknologi hijau, dan anda gunakan wind turbine dan solar, anda tak perlu untuk tutup cahaya matahari untuk menjana wind turbine atau anda menahan angin untuk mendapatkan cahaya matahari.

b. Barang ekonomi ialah barangan yang dihasilkan oleh syarikat swasta. Sebagai contoh, kereta, telefon bimbit, rumah dan jam tangan. Barang ekonomi, penawaran terhad disebabkan oleh kekurangan faktor pengeluaran atau had pengeluaran syarikat. Contohnya syarikat Proton mempunyai had pengeluaran 50 buah kereta sehari, jadinya setakat itu sahaja pengeluaran sehari. Barang ekonomi ada kos lepas. Contohnya, syarikat Proton ingin mengeluarkan model Inspira dan Perdana. Model Perdana mendapat permintaan yang lebih tinggi berbanding Inspira, maka syarikat Proton akan mengeluarkan model Perdana lebih banyak berbanding Inspira. Maksudnya, Proton terpaksa melepaskan pengeluaran model Inspira untuk mengeluarkan model Perdana. Pengeluaran barang ekonomi juga terdapat kos contohnya bayar gaji pekerja, beli mesin, bil elektrik dan sebagainya.

c. Barang awam ialah barangan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Contohnya, lampu jalan, sekolah, dan perpustakaan awam. Penawaran bagi barang awam adalah terhad.  Pihak kerajaan tidak dapat menghasilkan kesemua barangan awam secara serentak. Perkara ini juga jelas menunjukkan barang awam terdapat kos lepas. Contohnya, jika situasi di Kampung Pisang berada dalam keadaan gelap, dan sekolah awam berada jauh dari kampung. Kerajaan terpaksa memilih untuk memasang lampu jalan atau membina sebuah sekolah di Kampung Pisang. Jika kerajaan memilih untuk membina sekolah, maka pemasangan lampu jalan adalah kos lepas dan sebaliknya. Penghasilan barang awan adalah tiada kos atau kos yang minima. Ini kerana penghasilan barang awam ditanggung oleh kerajaan dan dibayar oleh pembayar cukai (rakyat).

Bagi barang pengeluar, barang perantaraan dan barang pengguna saya asingkan kerana perbezaan penerangan. Bezanya adalah barang percuma, barang awam dan barang ekonomi berkaitan barang yang telah dihasilkan atau barang yang boleh terus digunakan. Berbeza dengan barang pengeluar, barang perantaraan dan barang pengguna dimana barangan ini ialah tingkat pemprosesan barang.

d. Barang pengeluar ialah item-item untuk menghasilkan pengeluaran. Contohnya, buruh, mesin, bahan mentah dan jentera.

e. Barang perantaraan ialah barang yang telah dihasilkan tetapi untuk penggunaan penghasilan barangan lain.

f. Barang pengguna ialah barang akhir yang boleh terus digunakan oleh pengguna.

Contoh, gandum (barang pengeluar) digunakan untuk menghasilkan tepung. Tepung (barang perantaraan) digunakan untuk membuat roti (barang pengguna).

Contoh, gandum (barang pengeluar) digunakan untuk menghasilkan tepung. Tepung (barang pengguna) digunakan untuk dicampak kepada member sewaktu birthday party.

Saya akan sambung post akan datang dengan subtopik yang selanjutnya.
Terima kasih dan selamat maju jaya!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ekonomi STPM Penggal 1 Bab 1 Part 2

Apakah itu ekonomi